MOHAMADDIN Ketapi
Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


“MEMANG benar, harta saya hanyalah sebuah motosikal bernilai RM9,388,” kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau mengesahkan sudah mengisytiharkan aset itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, motosikal itu memang didaftarkan atas namanya.

“Saya tak suka ada kereta. Saya tak menipu. Gaji saya hanyalah kira-kira RM14,000.

“Pada umur saya ini, saya hanya mahu simpan duit dan tidak mahu membeli sebarang harta sebab akan memeningkan kepala dan saya tidak mahu memikirkan mengenainya,” katanya selepas menghadiri majlis penerimaan pesawat terbaru A321neo milik AirAsia di Sepang, hari ini.

Sebelum ini, beliau adalah satu-satunya menteri yang tidak mengisytiharkan aset kepada SPRM dengan alasan benar-benar tiada harta di bawah namanya.

Beliau mengulas laporan portal berita, hari ini, bahawa Disember tahun lalu, Mohamaddin tidak mengisytiharkan sebarang aset kepada SPRM.

Namun, semakan terkini mendapati beliau mengisytiharkan asetnya bernilai RM9,388.

Mohamaddin mendakwa tidak memiliki wang yang banyak untuk membeli sebarang harta.

“Saya hanya simpan duit, apabila saya meninggal dunia boleh diserahkan kepada isteri dan anak saya.

“Serius sangatkah aset RM9,000 itu? Saya tunaikan tanggungjawab dengan membayar cukai kepada kerajaan dan negara. Kalau tidak bayar cukai, itu jadi perkara serius,” katanya.

Diminta mengesahkan sama ada beliau memang benar-benar tidak memiliki kereta, rumah atau hartanah beliau mengakui rumah milik isterinya.

“Tidak. Rumah? Saya tiada, semua milik isteri saya. Di bawah nama dia.

“Saya tidak mempunyai kereta, saya ada pemandu disediakan kerajaan. Saya tidak memandu sendiri. Jalan di Kuala Lumpur pun saya tidak tahu, kenapa saya perlu memandu?,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 7:21 PM