YUSLAHIZA menunjukkan laman web ICTE'20. FOTO Fathil Asri
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


KOLEJ Poly-Tech Mara (KPTM) Kampus Cawangan Kota Bharu melancarkan laman Web untuk menarik lebih banyak penyertaan bagi Persidangan Antarabangsa Pendidikan Guru (ICTE'20) pada 18 hingga 19 Mac 2020.

Timbalan Pengarah Akademiknya, Yuslahiza Mat Yusof berkata, cetusan idea untuk menghasilkan laman web di www.icte2020.com itu untuk memberi kemudahan kepada peserta dan pembentang daripada dalam dan luar negara mendapat maklumat berhubung persidangan itu.

Beliau berkata, laman web dihasilkan sendiri kerana ia cara paling berkesan untuk mendekatkan KPTM dengan peserta yang berminat.

"Melalui laman web ini peserta boleh terus membuat pendaftaran dengan kadar yuran sangat berpatutan dan pembentang juga boleh menghantar abstrak untuk dinilai panel KPTM dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan.

"Pada masa sama, mereka juga boleh mendapat pelbagai maklumat terperinci dengan mudah termasuk skop persidangan, yuran pendaftaran dan sebagainya.

"Sejak dilancarkan pada 19 November lalu, kita menerima sambutan sangat menggalakkan daripada pensyarah, guru, penuntut institut pengajian tinggi awam dan swasta dalam bidang berkaitan.

"Kita yakin sasaran 250 pembentang dan 550 peserta dalam dan luar negara akan dapat dicapai sebelum tarikh tutup penyertaan pada 25 Januari 2020," katanya ketika ditemui di KPTM Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir, Penolong Pengarah Kanan Sektor Jaringan Industri dan Pengantarabangsaan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Strategik KPTM Kota Bharu, Marinee Mohd Suhaimi.

Persidangan yang julung kali dianjurkan dengan kerjasama IPG Kampus Sultan Mizan di Hotel Grand Riverview di sini akan dirasmikan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Dr Hasnita Hashim.

Mengulas lanjut, Yuslahiza berkata, objektif utama penganjuran persidangan itu adalah untuk memartabatkan pendidikan di Kelantan dan Terengganu ke peringkat antarabangsa.

"Selain itu, persidangan ini akan menjadi medan perkongsian pengetahuan dan kepakaran pendidikan.

"InsyaAllah, kita tidak tolak kemungkinan untuk menjadikan persidangan ini sebagai program tahunan kolej di masa hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 6:52 PM