FOTO Hiasan
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


WANITA warga emas kerugian RM10,000 selepas disamun lelaki bersenjatakan pisau di kediamannya di Kampung Bukit Puteri, Jerteh, Kuala Besut semalam.

Dalam kejadian 8 pagi itu, mangsa berusia 68 tahun berdepan detik cemas selepas diacukan pisau di leher oleh penjenayah.

Menurut sumber, kejadian berlaku ketika mangsa berada bersendirian di kediamannya.

Katanya, ketika berada di bahagian dapur mangsa didatangi lelaki tidak dikenali yang menutup muka menggunakan kain.

“Lelaki itu terus mengacukan pisau dianggarkan 16 sentimeter ke leher mangsa.

“Penjenayah itu kemudian menarik rantai leher mangsa sebelum melarikan diri.

“Mangsa tidak cedera dan wanita warga emas itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Kuala Besut, 1.24 petang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Abdul Rozak Muhammad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes samun warga emas itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 6:47 PM