SUKARELAWAN Muslim Care perlu melalui tapisan keselamatan ketat daripada pihak tentera Filipina sebaik tiba di Pulau Basilan, Filipina, hari ini. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque.
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


SELEPAS mengharungi perjalanan lebih 12 jam, sukarelawan Muslim Care Malaysia (Muslim Care) akhirnya tiba di Pulau Basilan, Filipina, hari ini.

Seramai 24 sukarelawan Muslim Care terpaksa melalui pemeriksaan keselamatan ketat pelbagai peringkat bermula dari Zamboanga.

Pemeriksaan dari Pasukan Pengawal Pesisir Pantai Zamboanga memerlukan semula sukarelawan menurunkan 10 cop jari pada borang khas sebelum dibenarkan membeli tiket feri ke Pulau Basilan.

Sebaik tiba di Pelabuhan Lamitan City, Pulau Basilan, sukarelawan sekali lagi perlu melalui pemeriksaan ketat tentera Filipina yang lengkap bersenjata api.

Presiden Muslim Care, Zulkilfi Wahijan berkata prosedur itu perlu dilalui walaupun sudah mendapat kebenaran Gabenor Basilan.

Katanya, pemeriksaan itu sebenarnya memberikan jaminan keselamatan kepada sukarelawan memandangkan jumlah kehadiran ramai.

“Walaupun perlu lalui pemeriksaan ketat, ia memberi kami kelegaan kerana kehadiran kami diketahui tentera kerajaan dan pasukan keselamatan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

“Keadaan keselamatan khususnya warganegara luar menjadi keutamaan kerajaan Filipina kerana masih terdapat ancaman pengganas di pulau ini,” katanya.

Muslim Care dalam misi menyantuni masyarakat Islam di Pulau Basilan menerusi Misi Kebajikan Kesihatan dan Pembangunan Maahad Tahfiz Al Ansor.

Misi selama empat hari itu akan menyalurkan pelbagai bantuan kesihatan dan kebajikan kepada masyarakat Islam di pulau berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 6:39 PM