Chua Sui Hau (kanan) melihat kerja sampingan yang dilakukan Malikah selepas mengambil alih tugas ketua keluarga. FOTO Ihsan One Hope Charity and Welfare.
Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my


EMPAT tahun lalu, kisah keluarga ini pernah mendapat perhatian seluruh negara berikutan hanya bergantung kepada mi segera sebagai makanan ruji berikutan kemiskinan hidup.

Keadaan itu tidak banyak berubah malah, semakin mendesak apabila si suami, Othman Md Hassan meninggal dunia dan menjadikan Malikah Cholil, 38, yang buta sebagai ketua keluarga gantian.

Wanita itu terpaksa mencari rezeki buat menyara kehidupannya dan dua anak perempuan yang masih bersekolah menengah walaupun, kekurangan diri menyukarkan segala-galanya.

Kata Malikah, selepas arwah suami meninggal dunia, dia melakukan pelbagai kerja untuk menampung keperluan mereka, antaranya berniaga, mengurut, mendobi dan membungkus ‘bola tikam’.

“Asalkan memberi pendapatan, saya akan lakukan apatah lagi, arwah suami tidak tinggalkan apa-apa kerana kami pun bukanlah orang senang,” katanya

Kesungguhan wanita itu mencari rezeki mendapat perhatian Pertubuhan Kebajikan One Hope yang terpanggil untuk membantu meringankan beban mereka.

Bagaimanapun, Pengerusi pertubuhan itu, Chua Sui Hau berkata, bantuan RM1,000 sebulan yang diberikan hasil sumbangan orang ramai sejak dua tahun lalu, tidak mencukupi,

“Tabung ini mula berkurangan dan kita bimbang sukar untuk berterusan bantu Malikah, sedangkan wanita ini sangat cekal mencari rezeki untuk mereka sekeluarga dan sanggup melakukan apa saja kerja,” katanya.

Chua berkata, akan cuba mendapatkan bantuan pihak prihatin supaya nasib wanita itu terbela dan anaknya dapat meneruskan persekolahan hingga peringkat tinggi.

Pada Februari 2016, Harian Metro melaporkan kisah Malikah dan arwah suaminya yang menjadikan mi segera sebagai lauk dan kuah yang dimakan bersama nasi berikutan kesempitan hidup.

Juadah itu juga buat dua anak perempuan mereka yang kini berusia 15 dan 17 tahun kerana arwah Othman ketika itu tidak dapat bekerja kerana menghidap penyakit jantung.

Malikah pula buta selepas melahirkan anak kedua. Keluarga itu tinggal di Flat Taman Kota Permai, Bukit Mertajam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 6:24 PM