DUA lelaki dikesan mencuri tiga beg jemaah wanita sedang menunaikan solat Subuh di Surau As Soleheen, Kampung Mak Chili, Chukai, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


DATANG ke surau pada awal pagi untuk mencuri. Itu tindakan dilakukan dua lelaki dikesan mencuri tiga beg jemaah wanita sedang menunaikan solat subuh di Surau As Soleheen, Kampung Mak Chili, Chukai, hari ini.

Setiausaha Surau As Soleheen, Mohd Anuar Ibrahim berkata, kejadian disedari apabila pihaknya dimaklumkan mengenai kehilangan tiga beg tangan milik jemaah wanita di surau berkenaan selepas selesai menunaikan solat Subuh.

Katanya, susulan kejadian itu, pihaknya menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di surau berkenaan.

“Hasil semakan mendapati dua lelaki menaiki motosikal memasuki surau dan mengambil wuduk seolah-olah datang untuk menunaikan solat berjemaah.

“Bagaimanapun, sewaktu jemaah sedang menunaikan solat, salah daripada lelaki terbabit memasuki ruang solat wanita dengan menutup kepala menggunakan kain sarung dan melarikan tiga beg tangan.

“Kejadian menyebabkan mangsa kehilangan sejumlah wang tunai dan dokumen peribadi yang disimpan di dalam beg terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, susulan kejadian pihak pengurusan surau membuat laporan di Balai Polis Chukai pada 8.05 pagi hari ini.

Katanya, pihaknya turut menyerahkan rakaman CCTV terbabit kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

“Hasil semakan mendapati dua lelaki terbabit bukan penduduk kawasan sekitar surau ini dan kami serahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.

“Sudah beberapa kali kejadian seperti ini berlaku di surau ini menyebabkan pihak pengurusan memasang CCTV bagi pemantauan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes curi di surau terbabit.

Beliau berkata, siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Kejadian turut tular apabila video rakaman CCTV memaparkan dua lelaki terbabit mencuri beg tangan ketika jemaah wanita sedang solat tersebar di media sosial, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 6:14 PM