ANGGOTA bomba menyelamatkan kucing yang hampir lemas. FOTO ihsan bomba
Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my


ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menyelamatkan seekor kucing yang hampir lemas di Sungai Segget, Johor Bahru, pagi tadi.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Nazarudin Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.19 pagi sebelum tujuh anggota dan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi bagi menyelamatkan kucing itu.

“Apabila tiba, anggota kami menggunakan tangga untuk turun ke dalam Sungai Segget sedalam kira-kira enam meter.

“Bagaimanapun mungkin disebabkan takut, kucing itu yang pada mulanya cuba berenang ke tebing, berenang pula ke dalam terowong menyebabkan anggota terpaksa menggunakan peralatan khas termasuk jaket keselamatan untuk meredah sungai.

“Anggota dilengkapi jaket keselamatan dan tali meredah air untuk mendapatkan kucing berkenaan sebelum membawanya naik ke atas,” katanya.

Menurutnya, operasi ditamatkan pada jam 10.28 pagi dan selepas berjaya menyelamatkan kucing berkenaan, pihaknya membawa ia pulang ke BBP Larkin untuk dimandi dan diberikan makan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 6:05 PM