AMIRUDIN bergantung sepenuhnya pada basikal roda tiga pemberian rakannya untuk melakukan aktiviti di luar rumahnya. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat
am@hmetro.com.my


KECACATAN fizikal selepas diserang demam panas ketika kecil menjadi lebih perit apabila dia kehilangan kaki kiri disebabkan kanser tulang 27 tahun lalu.

Kini kehidupan Amirudin Abdullah, 48, yang menetap di Kampung Temai Tengah, Pekan bergantung sepenuhnya pada basikal roda tiga pemberian rakannya untuk melakukan aktiviti harian.

Menurutnya, basikal itu menjadi nadi untuk dia bergerak ke kedai dan menguruskan projek ternakan ayam kampung lebih 70 ekor yang diusahakan sejak lima tahun lalu.

“Basikal dan saya tidak mungkin dapat dipisahkan, walaupun berkarat dan semakin uzur namun saya begitu selesa mengayuhnya setiap hari.

“Saya menggunakan tangan kanan untuk mengayuhnya, sejak digunakan lebih 20 tahun lalu sudah dua kali rangka basikal patah dan banyak kali juga tayarnya bocor,” katanya yang memiliki kemahiran membaiki basikal roda dua.

Dia yang pernah mengikuti latihan di Pusat Latihan Orang Cacat Cheras, Selangor berkata, kemahiran dalam bidang kimpalan membolehkan dia membaiki sendiri kerosakan basikalnya termasuk milik penduduk kampung.

Amirudin berkata, dia bercita-cita membuka bengkel basikal suatu hari nanti sekiranya ada pihak yang ingin membantunya dan kini dia membaiki basikal secara sambilan di rumah.

Menurutnya, walaupun serba kekurangan, itu bukan alasan untuk dia menyerah kalah dan tidak berusaha.

“Walaupun menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan namun saya tetap perlu berusaha mencari pendapatan tambahan bagi membantu keluarga.

“Saya perlu membantu mak dan ayah yang sudah lanjut usia, pengorbanan mereka sebelum ini perlu dibalas walaupun hanya sedikit,” kata anak ketiga daripada tujuh beradik itu.

Amirudin berkata, hasil pendapatan ternakan ayam kampung juga agak memuaskan, permintaan begitu menggalakkan hingga tidak mencukupi.

Menurutnya, pemborong membeli dengan harga RM8 sekilogram, setahun tiga hingga empat kali ayam dijual.

“Cita-Cita utama saya ialah membuka bengkel basikal bagi kemudahan penduduk kampung selain membesarkan projek ternakan ayam kampung yang permintaannya begitu menggalakkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 10:06 AM