FOTO hiasan
Zuhainy Zulkiffli
am@metro.com.my


PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) kesal dengan tindakan seorang ahli parlimen yang mencadangkan supaya pengharaman larangan merokok di premis makanan terbuka bermula 1 Januari 2020 digantung sementara.

Presiden CAP, Abdul Kader Mohideen berkata, gesaan tidak masuk akal itu seolah-olah meletakkan kepentingan ekonomi terhadap 5,000 operator vape, mengatasi kesihatan dan kebajikan rakyat terutama generasi muda.

Katanya, pengharaman merokok di tempat makan terbuka adalah selaras dengan Artikel 8 Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang memberi perlindungan daripada terdedah kepada asap tembakau.

“Penggunaan rokok elektronik atau vape perlu diharamkan, bukan dikawal kerana mustahil bagi memantau beratus jenama e-cecair haram dan halal dalam pasaran.

“Kita tidak mampu bagi memeriksa komposisi e-cecair itu malah pelaksanaannya yang mahal dan menyukarkan,” katanya dalam satu kenyataan di Georgetown, hari ini.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, mahu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggantung sementara pengharaman merokok di tempat makan terbuka ‘sehingga peraturan lebih sempurna bagi industri vape dilaksanakan’.

Gesaan itu dibuat supaya KKM dapat mengemukakan penyelesaian menang-menang dan menggubal peraturan lebih sempurna kepada kira-kira 5,000 operator vape, yang berpotensi menyumbang kepada ekonomi.

Abdullah Sani mengulas bahawa perokok dan vape perlu sekurang-kurangnya diberikan ruang di tempat makan, dengan menambah bahawa kekurangan dalam undang-undang boleh dibaiki sebagai usaha bagi melindungi kebebasan kumpulan ini.

Sehubungan itu, Mohideen berkata, kerajaan perlu berhati-hati terhadap kumpulan dibiayai industri berkaitan yang dikhuatiri mahu mensabotaj agenda kesihatan kerajaan.

Katanya, pengajaran perlu dipelajari ialah kaitan antara vape dan risiko kesihatan seperti dilihat dalam beberapa kes penyakit paru-paru berkaitan vape.

“Apabila penyakit paru-paru berkaitan vape muncul pada Julai 2019, Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDCP) di Amerika Syarikat mengarahkan 100 doktor dan penyiasat bagi mengenal pasti penyebab kematian yang pada awalnya dikatakan satu bentuk pneumonia.

“Jika ia berlaku di Asia, berapa banyak negara mampu menyediakan tenaga manusia, masa dan wang bagi melaksanakan siasatan seperti itu dan ia belum lagi mengambil kira kos rawatan perubatan bagi kes penyakit paru-paru berkaitan vape,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 10:02 PM