Gambar hiasan
Shahrinnahar Latib
am@hmetro.com.my


WANITA warga emas kerugian hampir RM120,000 terpedaya dengan pelaburan tidak wujud yang ditawarkan tiga lelaki di Kuantan semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 70 tahun diperdaya sehingga menyerahkan wang kepada suspek sebelum dia ditinggalkan di dalam kenderaannya di tempat letak kereta sebuah pusat membeli belah.

Menurutnya, mangsa mendakwa dia didatangi tiga lelaki berkenaan ketika berada di sebuah pasar raya di Air Putih.

“Suspek memperkenalkan diri sebagai ejen skim pelaburan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) dan syarikat petroleum sebelum memujuk mangsa menyertai skim dengan menjanjikan pulangan lumayan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, suspek meyakinkan mangsa dengan menyerahkan sampul berisi wang RM200, baucar syarikat petroleum bernilai RM200 dan kad mata ganjaran.

“Terpedaya dengan tawaran dan pujukan suspek, mangsa bersetuju untuk melabur dan bersedia untuk mengeluarkan wang dari bank bagi tujuan berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, mangsa kemudiannya ke bank sambil ditemani suspek untuk mengeluarkan wangnya dengan jumlah keseluruhan RM119, 823.

“Selepas mengeluarkan wang itu, mangsa dibawa ke sebuah pusat beli belah untuk menyerahkan wang berkenaan kepada seorang lagi suspek yang menunggu di situ.

“Mangsa menyerahkan wangnya kepada lelaki yang ditemuinya di tingkat bawah parkir kenderaan di pusat beli belah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek beredar kononnya untuk menguruskan pelaburan berkenaan manakala mangsa diminta menunggu di situ sehingga mereka kembali.

“Mangsa mula curiga apabila suspek tidak muncul selepas lama menunggu malah keretanya juga tidak dapat keluar dari tempat letak kereta itu selepas kad parking diserahkan kepada suspek sebelum mereka beredar,” katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa kemudiannya menyedari ditipu dan tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Kita percaya suspek menggunakan modus operandi dengan memperdaya mangsa melalui tawaran pelaburan yang tidak wujud sehingga mendorong warga emas itu menyerahkan wangnya sebelum dilarikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 11:23 AM