Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


KERAJAAN Perlis menolak pelaksanaan menanggung kos rawatan perubatan bagi kakitangan Perkhidmatan Awam Negeri (PAN), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pihak Berkuasa Berkanun (PBB) oleh kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Perlis, Teh Chai Ann berkata, Perlis tidak berkemampuan untuk menanggung kos perubatan berikutan negeri terbabit tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi di samping pelaksanaannya itu bakal membebankan kerajaan negeri.

“Saya sedia maklum berhubung satu pekeliling yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia bertarikh pada 15 Oktober lalu mengenai penanggungan kos rawatan kepada kakitangan PAN, PBT dan PBB.

“Saya melihat skim ini membebankan kerajaan negeri yang tidak mempunyai perolehan hasil negeri yang tinggi dan perlu dipertimbangkan semula sebelum dilaksanakan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, KKM menerusi satu pekeliling bertarikh pada 15 Oktober lalu menyatakan sebarang caj dan bil perubatan kakitangan PAN, PBT dan PBB akan ditanggung oleh majikan masing-masing yang secara tidak langsung merujuk kepada setiap kerajaan negeri.

Menurut pekeliling itu juga, sekiranya kerajaan negeri gagal membayar caj dan bil tanggungan kakitangan terbabit dalam masa 30 hari dari tarikh surat peringatan dikeluarkan, tindakan boleh dikenakan terhadap kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Teh berkata, selain itu pengenalan mekanisme pengeluaran wang poket kakitangan terlebih dahulu dalam menerima rawatan turut dilihat membebankan mereka meskipun ia boleh dituntut daripada majikan masing-masing.

“Bagaimana pula jika pesakit atau kakitangan terbabit memerlukan rawatan secara segera? Ini secara tidak langsung membebankan.

“Jadi saya berharap perkara ini perlu dipertimbangkan dan diteliti semula dengan mengambil kira beberapa faktor tertentu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 10:06 AM