Mayat lelaki OKU ditemui terapung dalam kolam terbiar. FOTO Ihsan Polis
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@nstp.com.my


LELAKI orang kurang upaya (OKU) lembam lemas dalam sebuah kolam tadahan terbiar di kawasan ladang getah Felda Hutan Percha di Alor Gajah, hari ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mayat OKU berusia 52 tahun yang juga bapa kepada empat anak itu ditemui pengurus ladang ketika membuat rondaan, kira-kira 9 pagi hari ini.

Menurutnya, berdasarkan dokumen yang ditemui di poket seluar mangsa, identiti disahkan sebagai Mohd Noor Salleh, 52, yang bekerja sendiri dan mempunyai isteri serta empat orang anak.

“Mangsa dipercayai ke kolam berkenaan untuk memancing ikan dengan menunggang motosikal yang berada di tepi kolam.

“Ketika dijumpai, mangsa dalam keadaan terapung, berbaju hitam dan berseluar jeans biru,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Arshad berkata, turut ditemui di tempat kejadian adalah joran, telefon bimbit, kotak rokok, selipar, air kopi dalam bungkusan plastik dan juga dompet yang mengandungi wang dan dokumen mangsa.

“Hasil bedah siasat di Hospital Alor Gajah pada 3 petang tadi mendapati punca kematian adalah akibat lemas.

“Setakat ini polis tidak mengesyaki sebarang perbuatan jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

“Menurut isteri mangsa, kali terakhir dia melihat suaminya adalah pada petang Sabtu lalu dan tidak mencarinya kerana menyangka mangsa pulang ke rumah ibunya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 8:43 PM