Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


LELAKI yang melarikan diri selepas menikam rakan sekerjanya di syarikat penghantaran barang berjaya ditahan di Simpang Ampat, Nibong Tebal, hari ini.

Suspek yang berusia 27 tahun itu ditahan sepasukan polis di tepi jalan kira-kira 7 malam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Jafri Mohd Zain berkata, hasil pemeriksaan mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau bersabit kes dadah (dua) dan jenayah.

Katanya, mangsa yang berusia 24 tahun juga mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah.

“Sehingga kini, mangsa masih kritikal dan dirawat di Hospital Pulau Pinang.

“Suspek melarikan diri bersama pisau yang digunakan untuk menikam mangsa. Setakat ini, motif kejadian dipercayai masalah di tempat kerja,” katanya.

Menurutnya, polis sudah merakam percakapan seorang saksi yang berada di lokasi dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian 1.30 petang mangsa ditikam suspek yang juga ‘team leader’ kumpulan kerja mereka yang seramai lima orang.

Berita berkaitan

Tikam rakan lewat masuk kerja

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 8:34 PM