RAYER (gambar kiri) bersama Mohd Shahidan menghangatkan Dewan Rakyat apabila meminta speaker mempercepatkan perbahasan untuk menyaksikan perlawan bola sepak Malaysia menentang Indonesia, malam ini. FOTO Arkib NSTP
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


BAHANG perlawanan bola sepak antara Harimau Malaya dan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini turut dirasai ahli Parlimen yang bersidang di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur.

Antara yang paling bersemangat adalah RSN Rayer (PH-Jelutong) apabila beliau bangun dan merayu kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming supaya mempercepatkan sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020, petang ini.

Rayer memohon perkara itu sebelum Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) bangun sebagai individu terakhir membahaskan RUU Perbekalan 2020, Kementerian Pengangkutan.

“Speaker... satu permintaan dengan izin sebelum Arau. Hari ini dah jam 6. Malam ini kita ada pertandingan bola sepak Malaysia lawan Indonesia.

“Jadi... saya pun nak pergi memberi sokongan. Boleh ke kita mempercepatkan atau memberi peluang untuk tayangan langsung.

“Kita pun penyokong nak pergi sama-sama menyokong Malaysia malam ini,” katanya.

Kor Ming kemudian menegaskan: “Saya kagum dengan semangat patriotik Jelutong dan ahli berhormat. Bagaimanapun, urusan Dewan sentiasa diberikan keutamaan.

“Nak tengok bola ikutilah siaran langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM),” katanya.

Sementara itu, Mohd Shahidan mencelah: “Saya ingat boleh buat siaran langsung dari sini... saya sokong Jelutong.

Rayer kemudian turut merayu kepada Shahidan supaya tidak meneruskan perbahasan bagi menjimatkan masa.

“Arau tak payah bahas la, kita nak tengok bola sama-sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 8:00 PM