Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


LEMBAGA Disiplin UMNO akan menyiasat dan mengambil tindakan tatatertib terhadap pemimpin atau ahlinya yang didakwa terbabit dalam pertemuan ‘sulit’ dengan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin di Putrajaya, malam tadi.

Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, tindakan berkenaan akan dibuat selepas pihaknya menerima aduan rasmi mengenainya.

“Lembaga Disiplin UMNO difahamkan akan menerima beberapa aduan berhubung pertemuan beberapa Ahli Parlimen UMNO di rumah Menteri Hal Ehwal Ekonomi di Putrajaya, malam tadi.

“Setelah menerima aduan rasmi, Lembaga Disiplin akan segera mengambil tindakan dengan menyiasat perkara itu mengikut prosedur sedia ada dan membuat keputusan sewajarnya.

“Perlu ditegaskan Lembaga Disiplin parti diberi amanah dan tanggungjawab oleh parti dengan kuasa-kuasa tertentu di bawah Perlembagaan UMNO dan akan menjalankan tanggungjawab secara tegas, jujur dan saksama tanpa gentar atau pilih kasih,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas pertemuan 22 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan lima Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kediaman Mohamed Azmin di Putrajaya, malam tadi.

Mereka dilihat tiba 7 malam sebelum meninggalkan kediaman Timbalan Presiden PKR itu pada 11 malam.

Antara yang dilihat keluar dari kediaman itu ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamaruddin Jaffar; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Mastura Mohd Yazid, Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) dan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (BN-Maran).

Ahli Parlimen Cameron Highlands (BN) Ramli Mohd Nor yang turut hadir ketika diminta mengulas lanjut mendakwa tiada apa-apa yang dibincangkan dalam pertemuan berkenaan.

Pemimpin lain yang turut hadir ialah Datuk Seri Ahmad Hamzah (Jasin), Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau), Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (Kuala Krau), Datuk Hasbullah Osman (Gerik), Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), Datuk Jamaluddin Alias (Jelebu), Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang) dan Datuk Noriani Ahmad (Parit Sulong) yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO.

Terdahulu kecoh apabila tular mesej menerusi aplikasi WhatsApp mengenai pertemuan membabitkan Mohamed Azmin dengan beberapa Ahli Parlimen PH dan BN.

Berita berkaitan

'Saya tak tahu pun..' - Mujahid

Wan Azizah sindir Azmin

Saya tak tahu apa dibincangkan - PM

Azmin jumpa Ahli Parlimen BN

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 2:03 PM