DATUK Seri Dr Mujahid Yusof. FOTO Arkib NSTP
Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


“JUMPA (Datuk Seri Mohamed) Azmin Ali? Saya tak tahu pun,” kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Beliau menegaskan, perkara berkenaan adalah di luar pengetahuan dan bidang kuasanya.

Sehubungan itu, beliau mengesyorkan supaya media bertanya terus kepada pihak terbabit.

“Luar bidang kuasa saya, kena tanya mereka,” katanya, hari ini.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Multaqa Ulama Asia Tenggara di Sepang.

Mujahid berkata demikian ketika diminta mengulas pertemuan 22 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan lima Ahli Parlimen PKR di kediaman Mohamed Azmin di Putrajaya, malam tadi.

Mereka dilihat tiba jam 7 malam sebelum meninggalkan kediaman Timbalan Presiden PKR itu pada 11 malam.

Antara yang dilihat keluar dari kediaman itu ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamaruddin Jaffar; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Mastura Mohd Yazid, Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) dan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (BN-Maran).

Ahli Parlimen Cameron Highlands (BN) Ramli Mohd Nor yang turut hadir ketika diminta mengulas lanjut mendakwa tiada apa-apa yang dibincangkan dalam pertemuan berkenaan.

Pemimpin lain yang turut hadir ialah Datuk Seri Ahmad Hamzah (Jasin), Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau), Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (Kuala Krau), Datuk Hasbullah Osman (Gerik), Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), Datuk Jamaluddin Alias (Jelebu), Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang) dan Datuk Noriani Ahmad (Parit Sulong) yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO.

Terdahulu kecoh apabila tular mesej menerusi aplikasi WhatsApp mengenai pertemuan membabitkan Mohamed Azmin dengan beberapa Ahli Parlimen PH dan BN.

Berita berkaitan

Wan Azizah sindir Azmin

Saya tak tahu apa dibincangkan - PM

Azmin jumpa Ahli Parlimen BN

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 1:38 PM