ANGGOTA bomba mengeluarkan lembu yang terjatuh dalam lubang kumbahan. FOTO ihsan bomba
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


KHIDMAT bomba terpaksa digunakan bagi menyelamatkan seekor lembu yang terjatuh ke dalam lubang kumbahan najis di Kampung Kinjang Baru, Tapah, hari ini.

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah dihubungi penduduk kampung selepas usaha mereka mengeluarkan haiwan itu gagal.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima maklumat pada 8.21 pagi dan sepasukan anggota BBP Tapah bertindak ke lokasi kejadian.

“Bomba menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan terdapat seekor lembu terjatuh ke dalam lubang kumbahan.

“Bomba bertindak mengeluarkan haiwan itu menggunakan tali serta dibantu penduduk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, lembu terbabit berjaya dikeluarkan dengan selamat dan operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Tarmizi Rasid itu tamat pada 9.20 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 12:48 PM