Antara barangan yang dirampas selepas polis menahan tiga individu yang dipercayai terbabit dalam kejadian pecah masuk dan mencuri kedai runcit diTaman Sri Serdang, Kepala Batas. Foto Ihsan PDRM
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


TIGA orang termasuk dua pelajar ditahan polis dalam beberapa serbuan berasingan selepas disyaki terbabit dalam kejadian pecah kedai runcit di Taman Sri Serdang, Kepala Batas.

Kesemua mereka berusia 13, 14, dan 21 tahun itu ditahan kira-kira pada 5 petang selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 50 tahun, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa mendakwa suspek merosakkan kunci kedai dan mencabut fius utama elektrik di luar premis terbabit.

Menurutnya, suspek juga didakwa merosakkan mesin wang di kedai terbabit serta melarikan wang tunai dan rokok pelbagai jenama.

“Mangsa yang juga pemilik kedai menganggarkan kerugian dialaminya berjumlah RM2,700,” katanya.

Noorzainy berkata, polis yang memburu suspek kemudiannya berjaya menahan semua suspek di lokasi berasingan di daerah ini.

Katanya, siasatan awal mendapati kesemua suspek mengaku terbabit dalam kejadian pecah kedai itu.

“Mereka juga mengaku turut melakukan beberapa kes lain termasuk pecah kantin sekolah di Kepala Batas dan kes curi motosikal.

“Seorang daripada mereka yang dipercayai ketua kumpulan itu mempunyai rekod jenayah lampau.

“Polis juga merampas peralatan memecah rumah, tujuh kotak rokok, pakaian, fius elektrik dan wang tunai daripada suspek,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 12:40 PM