GAMBAR hiasan
Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


NIAT ibu membawa anaknya bercuti di atas kapal persiaran mewah berakhir tragedi apabila anaknya ditemui lemas dalam kolam renang kapal itu yang berlabuh di Jeti Star Cruise di Langkawi, semalam.

Dalam kejadian 7.15 malam itu, mangsa, Heng Kai Lun Alan, 10, warga Singapura dipercayai lemas ketika mandi bersendirian di kolam itu.

Ibu kanak-kanak malang itu dikenali Chang Lei Ling, 40, yang juga warga Singapura.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata, anggota polis dari Balai Polis Padang Matsirat menerima panggilan kecemasan jam 7.30 malam berkaitan kejadian itu.

“Kanak-kanak berusia 10 tahun itu bersama ibu serta rakan ibunya bercuti atas kapal itu yang tiba di Langkawi dari Singapura, 3 petang semalam.

“Ketika kejadian, terdapat ramai pengunjung lain sedang mandi, selain ‘pool attendant’ juga berada berhampiran,” katanya ketika dihubungi di Langkawi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, polis sudah merakam percakapan saksi serta ‘pool attendant’ untuk membantu siasatan.

“Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Langkawi untuk tindakan lanjut, manakala kapal persiaran mewah yang membawa 3,000 penumpang termasuk anak kapal itu sudah meneruskan pelayaran ke Phuket, 10.30 malam tadi.

“Sehingga kini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara polis menunggu laporan bedah siasat mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 8:45 AM