JAGANATHAN (kiri) menunjukkan kaki isterinya selepas dibedah di Ladang Kuala Jelai, Kuala Pilah. Turut kelihatan, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Temeris, Zahari Hashim. FOTO Amran Yahya
Amran Yahya
am@hmetro.com.my


SEORANG bekas buruh ladang merayu bantuan meringankan beban merawat isteri yang menghidap penyakit tiga serangkai sejak tiga tahun lalu.

V Jaganathan, 63, kini tiada pendapatan tetap selepas bersara sebagai buruh di Ladang Kuala Jelai di sini, selain perlu keluar dari kuarters pekerja dan menumpang di rumah anak perempuannya, J Panjawarno, 34, juga buruh ladang itu.

Wang hasil caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga habis digunakan untuk merawat isteri dan seorang anak lumpuh.

Jaganathan berkata, sejak isteri, R Angammah, 57, sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi tiga tahun lalu, dia banyak menghabiskan masa menjaganya.

“Ketika bekerja saya tidak mampu membuat banyak simpanan kerana perlu membesarkan 10 anak.

“Banyak wang diperuntukkan bagi anak bongsu yang lumpuh sejak lahir. Bagaimanapun, dia meninggal dunia setahun lalu,” katanya ketika ditemui di Ladang Jelai, kelmarin.

Jaganathan berkata, dia memerlukan RM1,000 sebulan untuk kos rawatan isteri di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah, dan klinik swasta.

“Isteri tidak boleh berjalan selepas pembedahan setahun lalu kerana penyakit kencing manis. Dia juga perlu dirujuk ke klinik swasta setiap dua hari dengan kos RM50 untuk membeli ubat.

“Anak saya juga bukan hidup senang kerana hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan tidak menentu,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu Jaganathan boleh menyumbang melalui Media Prima-NSTP Humanitarian Fund (Metro Prihatin) di nombor 105280004378 (Affin Islamic Bank) dan 514271655386 (Maybank).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 5:45 AM