SEBAHAGIAN daripada 81 wanita warga asing yang ditahan di dua buah pusat hiburan, malam kelmarin. FOTO ihsan JIM
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@hmetro.com.my


CUBAAN wanita warga asing dipercayai pelayan pelanggan (GRO) meloloskan diri dengan menggunakan pintu rahsia di pusat hiburan gagal apabila ditahan Pasukan Taktikal Khas (Pastak) Jabatan Imigresen Malaysia (Jim), dalam operasi khas malam kelmarin.

Serbuan tiga jam bermula jam 12.30 tengah malam itu dijalankan di dua buah pusat hiburan di Melaka Raya, di sini.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi khas itu dilakukan bagi menggempur kegiatan pusat hiburan yang menyediakan perkhidmatan GRO.

Beliau berkata, 150 individu diperiksa dalam serbuan ke atas kedua-dua premis berkenaan dan hasilnya 81 wanita warga asing dipercayai GRO termasuk dua lelaki yang juga pekerja ditahan.

“Mereka adalah 30 wanita warga China, 49 Vietnam dan dua lelaki Myanmar.

“Turut ditahan sembilan warga tempatan termasuk tiga wanita yang dipercayai bertindak sebagai mummy kepada GRO berkenaan,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, pusat hiburan berkenaan didapati dikawal ketat oleh tonto.

“Kumpulan tonto melakukan kekecohan serta provokasi di luar premis bagaimanapun dapat dikawal Pastak tanpa insiden tidak diingini.

“Semua ditahan didapati tiada dokumen pengenalan diri, tiada pas sah, tinggal lebih masa serta melanggar Akta Imigresen,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Semua ditahan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 5:30 AM