Mohamed Azmin bersama Zuraida di kediamannya di Presint 10 malam tadi. FOTO Petah Wazzan Iskandar
Petah Wazzan Iskandar
am@hmetro.com.my


SEKUMPULAN Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) hadir ke kediaman Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Presint 10, Putrajaya malam ini.

Kenderaan milik wakil rakyat terbabit termasuk yang mempunyai jata Ahli Parlimen dan Timbalan Menteri memasuki kediaman berkenaan dipercayai mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presiden PKR itu.

Wakil rakyat berkenaan dipercayai berada di situ sejak 7 malam sebelum beransur-ansur meninggalkan kediaman Mohamed Azmin mulai 11 malam dengan yang terakhir dilihat keluar ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Naib Presiden PKR, Zuraida Kamarudin.

Antara yang dilihat keluar ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamaruddin Jaffar; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Mastura Mohd Yazid, Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) dan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (BN-Maran).

Ahli Parlimen Cameron Highlands (BN) Ramli Mohd Nor yang turut hadir ketika diminta mengulas lanjut mendakwa tiada apa-apa yang dibincangkan dalam pertemuan berkenaan.

Pemimpin lain yang turut hadir ialah Datuk Seri Ahmad Hamzah (Jasin); Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau); Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (Kuala Krau); Datuk Hasbullah Osman (Gerik).

Selain itu Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar); Datuk Jamaluddin Alias (Jelebu); Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang) serta Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong) yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO.

Terdahulu portal Malaysia Today melaporkan Mohamed Azmin mengadakan pertemuan itu bagi mendapatkan sokongan daripada sekurang-kurangnya 30 Ahli Parlimen BN bagi menafikan cubaan menjatuhkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melalui undi tidak percaya.

“Sekiranya Azmin mendapat sokongan daripada 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional dan bergabung dengan kumpulan pro-Mahathir dalam Pakatan Harapan, apa-apa percubaan untuk mengguling Mahathir dan menggantikannya dengan Anwar akan gagal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 12:32 AM