GAMBAR Hiasan
BERNAMA

KANAK-kanak lelaki warga Singapura lemas dalam kolam kapal persiaran yang sedang berlabuh di Jeti Star Cruise, Langkawi hari ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kanak-kanak berusia 10 tahun itu bersama ibu serta rakan ibunya bercuti di kapal itu yang baru tiba di Langkawi dari Singapura petang tadi sebelum berlepas ke Phuket.

Beliau berkata, anggota polis Balai Padang Matsirat menerima panggilan kecemasan 7.30 malam mengenai kejadian itu.

“Siasatan awal mendapati kanak-kanak itu dipercayai lemas ketika mandi bersendirian di dalam kolam di atas kapal persiaran berkenaan.

“Ketika kejadian terdapat ‘pool attendant’ dan ramai pengunjung lain juga sedang mandi, namun mereka gagal menyelamatkan kanak-kanak itu.

“Polis sudah merakam percakapan saksi serta ‘pool attendant’ itu untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Iqbal berkata, mayat kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Sultanah Maliha Langkawi untuk tindakan lanjut dan kapal persiaran mewah yang membawa 3,000 penumpang termasuk anak kapal itu sudah meneruskan pelayaran ke Phuket 10.30 malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 12:19 AM