Antara kasut serta pelbagai peralatan ditemui selepas tiga lelaki ditahan. FOTO Ihsan PDRM
Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@nstp.com.my


TIGA lelaki ditahan selepas mencuri 22 pasang kasut berjenama bernilai RM5,030 di kawasan perumahan di Taman Seri Melati Batu Caves hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, suspek berusia 28 hingga 38 tahun itu dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba ditahan anggota Task Force Selayang.

“Suspek kemudian melarikan diri menaiki kereta sebelum ditahan di Jalan SJ13 Selayang Jaya.

“Pemeriksaan pada motosikal menjumpai satu kotak besar mengandungi pelbagai jenis jenama kasut, dua peralatan rotary hammer dan sebuah demolition hammer.

“Pemeriksaan seterusnya menemui satu beg tangan galas mengandungi sarung tangan biru, satu set walkie talkie dan pelbagai jenis peralatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, soal siasat dan pemeriksaan di rumah suspek menemui beberapa kotak kasut dipercayai ada kaitan dengan kes disiasat.

Beliau percaya, penahanan itu dapat menyelesaikan empat kes kecurian kasut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 11:55 PM