Wee Jeck Seng memenangi PRK Tanjung Piai Sabtu lalu. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

KEKALAHAN Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Sabtu lalu adalah mesej rakyat kepada kerajaan supaya menunaikan janji manifesto, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

“Apa yang rakyat mahu lihat adalah kita kena menunaikan janji yang kita sudah buat.

“Oleh itu saya rasa adalah penting bahawa PH memberi tumpuan untuk menunaikan janji itu seperti mana digariskan dalam manifesto pilihan raya PH.

“Saya yakin kalau kita berusaha bersungguh-sungguh, rakyat akan membuat penilaian sendiri dan membuat keputusan yang memihak kepada kerajaan PH,” katanya ditemui selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman antara SME Bank Bhd, Malaysia Rail Link Sdn Bhd and China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) di Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, Lim yang juga Menteri Kewangan menepis dakwaan isu peruntukan belanjawan untuk Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) adalah satu-satunya penyebab kekalahan PH pada PRK Tanjung Piai.

PRK Tanjung Piai menyaksikan calon Barisan Nasional Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memenanginya dengan majoriti 15,086 undi.

Wee bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal, memperoleh 25,466 undi mengatasi calon PH, Karmaine Sardini yang mendapat 10,380 undi; calon Gerakan Wendy Subramaniam (1,707), diikuti Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz Berjasa (850) dan dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock (380) dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar (32).

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 10:31 PM