KEADAAN kereta dinaiki mangsa selepas dirempuh lori muatan bakul ayam di Jalan Bukit Tambun, Durian Tunggal dekat Alor Gajah, malam tadi. FOTO ihsan polis.
Nurul Fhatihah Zakinan
fhatihah@bh.com.my


SUAMI isteri maut manakala dua anak perempuan mereka parah apabila kereta dinaiki dirempuh lori muatan bakul ayam kosong di Jalan Bukit Tambun, Durian Tunggal, Alor Gajah, malam tadi.

Mangsa, Ng Kwang Shiang, 34, dan Ng Hui Bee, 27, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala anak mereka, Ng Huey En, 7, parah dan ditempatkan di zon merah Hospital Melaka (HM) manakala Ng Huey Shan, setahun, patah kaki kiri.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila lori dipandu T Kumeresan, 26, dari Serkam, Jasin menghala ke Hutan Percha, hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh kereta dinaiki empat beranak dari Lesung Batu menghala Ayer Keroh, pada 11.30 malam.

“Lori berkenaan terbabas ke kanan jalan dan merempuh kereta mangsa menyebabkan pasangan berkenaan meninggal di tempat kejadian.

“Bagaimanapun, pemandu lori tidak cedera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Arshad berkata, bedah siasat terhadap suami isteri itu dijalankan di Hospital Alor Gajah sebelum dituntut waris manakala dua kanak-kanak perempuan itu menerima rawatan lanjut di HM.

Beliau berkata, saringan ujian air kencing pemandu lori didapati negatif.

“Faktor berlaku kejadian kerana tiada lampu jalan dan kawasan agak gelap.

“Semua kenderaan terbabit ditahan di Balai Polis Alor Gajah untuk Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 4:50 PM