Lembu mati bergelimpangan di tepi jalan dilanggar dua kenderaan di Kilometer 31 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Kampung Batu Karang di Kampar hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


TUJUH yang ditemui mati bergelimpangan di Kilometer 31 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Kampung Batu Karang di Kampar hari ini adalah disebabkan kemalangan dan bukannya diracun seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, kemalangan kira-kira 4 pagi itu membabitkan dua kenderaan dengan sekumpulan lembu melintas jalan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori dan kereta yang belum dikenal pasti.

“Hasil siasatan mendapati lori dipandu seorang lelaki berusia 55 tahun dari Ipoh menuju ke Kampar dan sebaik sampai di tempat kejadian secara tiba-tiba sekumpulan lembu keluar dari sebelah kiri jalan.

“Oleh kerana jarak terlalu dekat menyebabkan lori berkenaan tidak sempat mengelak lalu melanggar lima ekor lembu berkenaan.

“Pada masa sama sebuah kereta yang belum dikenal pasti jenis serta pemandunya yang datang dari arah bertentangan juga tidak sempat mengelak lalu melanggar dua lagi lembu melintas di laluannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu kereta masih belum melaporkan kemalangan berkenaan.

“Susulan kemalangan itu, lori terbabit mengalami kerosakan di bahagian hadapan dan cermin hadapannya retak, selain lampu hadapan kiri dan kanan pecah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 4:47 PM