FOTO HIASAN
Faliq Lajim
faliq.lajim@nstp.com.my


OPERASI perkhidmatan di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil dilanjutkan sehingga 1 pagi sempena perlawanan antara pasukan Malaysia dan Indonesia bagi kelayakan Piala Dunia 2022 serta Piala Asia 2023, esok.

Pengendali sistem rel transit bandar dan bas henti-henti Rapid KL dalam kenyataan hari ini berkata, stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa, namun penumpang masih boleh keluar bagi meneruskan perjalanan.

“Tiga laluan bas Rapid KL juga akan dilanjutkan waktu perkhidmatan membabitkan bas terakhir berlepas pada 1 pagi.

“Laluan yang terbabit adalah Stesen LRT Awan Besar ke Batu 3 Jalan Klang Lama (652), Stesen LRT Awan Besar menuju ke TPM - Stesen LRT Bukit Jalil (T580) serta Stesen LRT Awan Besar ke LRT Salak Selatan - Bukit Jalil (T582),” katanya.

Menurut kenyataan itu, Rapid KL turut menyarankan agar pengguna menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam untuk ke stadium bagi mengelak kesesakan di jalan raya.

“Mereka juga disarankan untuk menggunakan kad Touch ‘N Go atau beli token perjalanan pulang lebih awal untuk memudahkan perjalanan yang lebih lancar.

“Pengguna perkhidmatan awam pada malam juga dinasihatkan untuk menjaga keselamatan masing-masing dan sila berhubung dengan petugas stesen sekiranya memerlukan bantuan,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, mereka yang memilih untuk memandu boleh meletakkan kenderaan di stesen LRT berdekatan dengan stadium.

“Stesen terbabit adalah Stesen LRT Muhibbah, Stesen LRT Awan Besar serta Stesen LRT Sri Petaling.

“Untuk sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh mengikuti Twitter dan Facebook MyRapidKL,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 4:23 PM