MOHD Nozilam meletakkan barangan elektrik di tempat lebih tinggi sebagai persiapan menghadapi banjir di Taman Desa Tanjung Damai, Gong Badak, Kuala Nerus. FOTO Malik Muhamad.
Malik Muhamad
am@hmetro.com.my


MEMORI hitam banjir besar pada 2014 apabila air memasuki dalam rumah melebihi satu meter masih menghantui lebih 1,000 penduduk di Taman Desa Tanjung Damai, Gong Badak, Kuala Nerus biarpun mereka sudah lali dengan bencana itu yang berlaku di kawasan terbabit hampir setiap tahun.

Malah, mereka mengakui trauma apabila hampir keseluruhan barangan termasuk perabot dan perkakasan elektrik di dalam rumah rosak selepas ditenggelami air.

Penduduk, Osman Ashari Hassan, 56, berkata, insiden pada petang 18 November 2014 itu masih segar lagi dalam ingatannya apabila dia bersama isteri dan lima anaknya bergegas ke luar rumah menyelamatkan diri .

“Pada petang itu, air mula memasuki rumah dan sehingga malam air mencecah paras paha dan ada rumah dinaiki air sehingga paras pinggang, malah di luar rumah sehingga paras dada dewasa.

“Banyak barangan dalam rumah musnah dan tidak boleh digunakan termasuk perabot dan barangan elektrik, saya anggarkan kerugian RM10,000.

“Walaupun tahun lalu kami tidak berpindah sebagaimana tahun sebelum itu dan tahun lain, tapi kami tetap bersedia memindahkan barang di tempat tinggi lebih selamat bagi mengelak peristiwa lama berulang,” katanya yang sudah enam kali berpindah di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Manakala bagi Melah@Syarifah Abdullah, 50, dia sudah lali dengan bencana itu kerana sudah beberapa kali berpindah di PPS.

Bagaimanapun, dia tetap berwaspada jika hujan berterusan selama tiga hari berturut-turut.

“Kami tetap berwaspada dan mengambil langkah awal dengan meletakkan barang berharga di tempat lebih selamat,” katanya

Penduduk lain, Mohd Nozilam Ismail, 43, berkata, dia tidak begitu bimbang dan berdebar setiap kali musim tengkujuh melanda Pantai Timur kerana sudah lali dengan situasi itu kerana sudah enam kali berpindah ke PPS sejak tinggal di kawasan terbabit.

“Namun, saya berharap sistem perparitan sedang dibina dapat diuruskan dengan baik bagi memastikan banjir besar tidak lagi melanda kawasan kami.

“Bagi pihak berkuasa kami berharap mereka pantas melakukan kerja menyelamat bagi memastikan tidak berlaku perkara tidak diingini jika banjir biarpun sebelum ini mereka harus dipuji kerana sedia membantu mangsa banjir di sini,” katanya.

Pada 13 November lalu, hujan lebat di daerah Hulu Terengganu menyebabkan 33 mangsa daripada tujuh keluarga dari Kampung Cheting, Kuala Berang terpaksa dipindahkan ke PPS Masjid Kampung Cheting.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, amaran angin kencang dan laut bergelora dijangka berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula 19 sehingga 23 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 4:00 PM