Nik Muhammad Zawawi dibawa ke dalam ambulans untuk ke hospital dan keadaan kereta yang dipandunya selepas terbabit kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Bidor hari ini. Foto Ihsan JBPM
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


KETUA Dewan Ulama PAS yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh cedera selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan di Kilometer 350.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di Bidor hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada 1.02 tengah hari dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati sebuah kereta terbabas di bahu jalan dan kenderaan itu dinaiki Ahli Parlimen dari Kelantan yang difahamkan dalam perjalanan dari Perlis ke Kuala Lumpur.

“Mangsa dipercayai hanya mengalami cedera ringan di kaki dan mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tapah dengan ambulans Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) BBP Tapah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, maklumat awal juga mendapati mangsa memandu bersendirian dan tiada individu lain terbabit dalam kemalangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 3:56 PM