HOSPITAL medan di Cox’s Bazar, Bangladesh. FOTO Arkib NSTP.
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


OPERASI Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar, Bangladesh akan dilanjutkan sehingga Disember 2021.

Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa hospital itu sudah mengendalikan 81,698 kes kesihatan sehingga kini.

“Operasi akan kekal tapi ia bukan hanya membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tapi membabitkan doktor-doktor daripada Kementerian Kesihatan dan doktor daripada badan bukan kerajaan (NGO).

“Untuk makluman, kita kekurangan doktor daripada ATM, justeru kita perlukan bantuan daripada doktor Kementerian Kesihatan,” katanya menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera).

Menurut Liew, kerajaan masih mengekalkan saiz operasi dan bantuan di Hospital Medan Cox’s Bazar bagi tempoh dua tahun ini berikutan pembinaannya mendapat persetujuan kerajaan Bangladesh.

Disebabkan itu juga, katanya, Kementerian Pertahanan tiada rancangan untuk membina hospital medan di Kem Pelarian Dalam Negara (IDP) Wilayah Rakhine, Myanmar.

“Buat masa ini, kementerian tidak ada rancangan untuk membuka hospital medan itu kerana ia perlu dipersetujui kerajaan Myammar... (dan) saya tak rasa mereka (Myammar) setuju,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan dikemukakan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) mengenai rancangan kerajaan untuk membuka hospital medan di IDP Wilayah Rakhine.

Ahmad Tarmizi mendakwa terdapat lebih 400,000 pelarian di IDP berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 2:45 PM