Mazlan menunjukkan laluan pintuk masuk penyokong Malaysia dan Indonesia untuk menyaksikan perlawanan di SNBJ, Kuala Lumpur esok. Foto Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


POLIS memberi amaran kepada penyokong bola sepak Malaysia dan Indonesia supaya tidak melakukan sebarang provokasi hingga boleh mencetuskan pergaduhan pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 esok.

Perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur itu dijangka dihadiri seramai 85,000 penyokong termasuk 6,500 penyokong dari Indonesia.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya akan melakukan kawalan keselamatan dan trafik bermula pada 1 petang di kawasan berkenaan.

Menurutnya, seramai 1,491 polis akan bertugas bagi melakukan kawalan keselamatan dan lalu lintas pada hari perlawanan itu.

“Penyokong diingatkan tidak mencetuskan sebarang provokasi, tidak membawa senjata berbahaya dan perlu mematuhi arahan pegawai polis yang bertugas,” katanya.

Mazlan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang cuba menimbulkan provokasi, mencetuskan kekecohan, mengganggu gugat ketenteraman awam dan melanggar undang-undang.

“Polis juga menetapkan pintu masuk A, B, C dan D dikhaskan untuk penyokong Malaysia manakala pintu E adalah untuk penyokong Indonesia.

“Penyokong perlu memastikan pintu masuk masing-masing bagi mengelakkan tercetusnya sebarang provokasi terhadap kedua-dua penyokong,” katanya.


Gambarajah pergerakan laluan kenderaan dan parkir di kawasan SNBJ untuk perlawanan di SNBJ, Kuala Lumpur esok. Foto Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Menurutnya, orang ramai juga dinasihatkan untuk menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Katanya, pengguna yang tidak bertujuan menonton perlawanan bola sepak juga dinasihatkan tidak melalui kawasan stadium dan perlu menggunakan jalan alternatif lain.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boeh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-20719999 atau talian hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 2:32 PM