OPERASI membawa turun mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Ibrahim Isa
Ibrahim@hmetro.com.my


LELAKI meninggal dunia di atas tangki setinggi 20 meter di loji memproses minyak, kawasan perindustrian pemprosesan minyak Jalan Nibong 5, Tanjung Langsat, Pasir Gudang, hari ini.

Difahamkan, Adnan Mohamad, 41, adalah kontraktor yang membuat kerja pemeriksaan pada tangki itu, sejak malam tadi.

Kali terakhir, mangsa dikatakan berhubung dengan rakannya adalah malam tadi, menyebabkan rakannya terkejut apabila mendapati dia masih di atas tangki itu, pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Ibrahim Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.11 pagi.

Beliau berkata, susulan itu, satu jentera dan satu kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan sembilan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

“Apabila tiba, kami dapati mangsa berada di atas tangki itu dan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Berikutan itu, kami terpaksa menggunakan trak kren untuk membawa pengusung dan membawa turun mangsa.

“Proses menyelamatkan mangsa mengambil masa kira-kita 30 minit kerana ia perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi.

“Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan kami menamatkan operasi pada 10.58 pagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 1:40 PM