Gambar hiasan
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) mengambil segala langkah kawalan sepanjang insiden kegagalan Sistem Pengurusan Keseluruhan Lapangan Terbang (TAMS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 21 Ogos lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi JIM sentiasa memastikan kawalan pintu masuk negara tidak dibolosi dengan mudah demi keselamatan negara.

“Kementerian dan JIM tidak berkompromi dari aspek keselamatan dalam memastikan kawalan di pintu masuk sentiasa dipantau sepanjang berlakunya gangguan teknikal pada sistem di KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada Ogos lalu.

“Kami sentiasa melaksanakan prosedur mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan termasuk memastikan segala prosedur pemeriksaan serta syarat kemasukan pelawat dipenuhi mengikut Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Akta Pasport 1966, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.

Beliau berkata ketika menjawab soalan dikemukakan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang mahu KDN menyatakan statistik kemasukan pelancong asing ke dalam negara ketika kegagalan TAMS di KLIA, baru-baru ini di sesi soal jawab di sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, pas khas untuk rujukan ke negeri yang ingin dilawati juga dikeluarkan kepada pelawat asing bagi tujuan semakan dan pemeriksaan yang lebih terperinci oleh JIM di negeri tersebut.

Dalam pada itu, Mohd Azis berkata, berdasarkan statistik ketibaan dan pelepasan yang direkodkan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), sejumlah 368,042 orang pelawat asing tiba di Malaysia melalui KLIA dan klia2 bagi tempoh 21 sehingga 25 Ogos lalu.

“Selain itu, seramai 347,981 orang pelawat asing berlepas keluar dari Malaysia melalui KLIA dan klia2 bagi tempoh yang sama.

“Pada masa sama, JIM turut merekodkan sejumlah 365 orang pelawat asing dikenakan arahan Notis Penolakan Masuk (NTL) bagi tempoh yang sama iaitu dari 21 hingga 25 Ogos 2019,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 12:58 PM