DR MAHATHIR. FOTO Arkib NSTP
Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


TUN Dr Mahathir Mohamad berkata, Pakatan Harapan (PH) akan melakukan post-mortem yang terperinci, serius dan jujur di semua peringkat parti bagi mengenal pasti punca sebenar kekalahan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, kelmarin.

Perdana Menteri berkata, pihaknya sudah menjangkakan berlaku peralihan majoriti kepada pembangkang.

“Jangkaan saya majoriti kekalahan ini tidak lebih dari 2,000 undi. Namun keputusan rasmi majoriti kekalahan ialah sebanyak 15,086 undi,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata, pihaknya menerima keputusan yang dibuat oleh pengundi di Tanjung Piai.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada jentera parti yang bekerja keras sepanjang tempoh berkempen PRK berkenaan.

“Saya ucap terima kasih kepada mereka yang bekerja keras sepanjang PRK ini,” katanya.

Kelmarin, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berjaya merampas kembali kerusi Parlimen itu dengan memperoleh 25,466 undi, sekali gus mengalahkan calon PH Karmaine Sardini yang memperoleh 10,380 undi.

Calon Gerakan Wendy Subramaniam memperoleh 1,707 undi; Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz memperoleh 850 undi (BERJASA), sementara dua calon BEBAS Dr Ang Chuan Lock (380 undi) dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar (32 undi).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 12:19 PM