GAMBAR hiasan
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


LELAKI cedera selepas ditembak menggunakan senapang di lutut di sebuah rumah di Kampung Darang Buaya, Jerteh, kelmarin.

Menurut sumber, ketika kejadian, mangsa berusia 35 tahun sebelum didatangi seorang lelaki kira-kira 12 tengah hari.

“Ketika berada di ruang tamu rumah, seorang lelaki masuk ke dalam kediaman berkenaan dan terus bertindak menembak mangsa menggunakan senapang patah sebelum melarikan diri.

“Mangsa yang cedera di lutut kiri kemudian mendapat bantuan jiran untuk menghantarnya ke Hospital Besut sebelum dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kelantan.

“Mangsa dilaporkan stabil dan sedar selepas dirawat,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, susulan kejadian, hospital melaporkan mengenai kes terbabit kepada pihak polis.

Katanya, polis juga sudah merakam keterangan mangsa dan melakukan siasatan di lokasi bagi tindakan lanjut.

“Hasil siasatan, polis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun dan merampas senapang patah jenis Bore 12 D/B, dua kotak peluru, buku lesen senjata api milik bapanya dan pakaian disyaki dipakai sewaktu kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Suspek kini direman selama tujuh hari bagi siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 9:36 AM