SARIMAH (kiri) menunjukkan petola yang dijadikan berus sebelum dijual kepada orang ramai. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail
am@metro.com.my


TRADISI yang semakin dilupakan apabila ramai tidak mengetahui buah petola matang yang dikeringkan boleh dimanfaatkan menjadi berus mencuci pinggan mangkuk.

Peniaga sayur di pasar Melayu tradisi di bandar Segamat di sini, Sarimah Alias, 52, berkata, kebiasaannya pelanggan memilih buah petola yang muda dan lembut untuk dimasak sebagai lauk.

“Namun petola tua tidak harus dibuang dan masih boleh mendatangkan keuntungan kepada peniaga,” katanya.

Katanya, petola tua itu dijemur beberapa hari bagi mengeluarkan air sebelum kulitnya dikupas hingga kelihatan urat berwarna kekuningan.

“Petola kering yang kelihatan seperti sabut ini sesuai untuk pelbagai kegunaan antaranya mencuci pinggan, cawan dan mangkuk.

PETOLA yang dijemur dijadikan berus mesra alam. FOTO Ahmad Ismail

“Selain itu boleh digunakan untuk menggosok badan bersama sabun ketika mandi. Berus diperbuat daripada petola ini lembut dan tidak melukakan kulit.

“Ia boleh digunakan untuk membersihkan karat pada motosikal selain mencuci bahagian lantai kediaman,” katanya.

Menurutnya, masyarakat Cina sudah sekian lama menggunakan berus diperbuat daripada petola ini untuk kegunaan di rumah.

“Mereka mendakwa rebusan air petola kering ini mempunyai khasiat dan menurunkan suhu badan.

“Berus petola boleh tahan lama hingga enam bulan. Setiap petola kering itu dijual antara RM2 hingga RM3 mengikut saiz,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 5:00 AM