Lelaki meninggal dunia selepas mengadu sukar bernafas ketika menemani isterinya di JPN Bachok. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias
am@hmetro.com.my


WARGA emas meninggal dunia ketika menemani isterinya membuat kad pengenalan di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Bachok hari ini.

Dalam kejadian 4.15 petang, lelaki berusia 70-an itu dipercayai sesak nafas sebelum rebah di pangkuan isterinya berusia lewat 60-an di kerusi lobi pejabat berkenaan.

Sumber JPN berkata, lelaki itu dipercayai datang ke pejabat JPN untuk membuat kad pengenalan isterinya yang hilang dalam kejadian ragut.

Katanya, selepas isterinya siap membuat kad pengenalan, mangsa yang menunggu di lobi pejabat kelihatan tercungap-cungap dan pucat sebelum isterinya memanggil kakitangan JPN untuk membantu.

“Ketika itu mangsa sudah tidak sedarkan diri dengan nafas turun naik dan beberapa kakitangan JPN sempat mengajarnya mengucap.

“JPN menghubungi ambulans namun sebaik ambulans tiba, pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, hasil percakapan dengan isteri mangsa memaklumkan mereka datang berdua ke JPN dari rumah mereka di Kampung Beris Kubur Besar.

“Isterinya memaklumkan suaminya mengadu sakit kepala sebelum mereka datang ke JPN.

“Ketika pegawai perubatan tiba di JPN, pegawai itu turut memaklumkan mengenali mangsa dan mangsa baru tiga hari ke klinik kerana disyaki mempunyai masalah jantung,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, pihaknya menunggu hasil bedah siasat ke atas mangsa bagi mengetahui punca kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 9:31 PM