Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


MEMILIKI kediaman selesa sudah pasti menjadi impian setiap individu, namun mereka perlu mengetahui potensi kewangan sebelum membelinya jika tidak mahu menghadapi kerugian pada masa akan datang.

Pelabur hartanah yang juga Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Dr Azizul Azli Ahmad berkata, keinginan membeli rumah besar seperti banglo sudah pasti menjadi impian ramai, namun ia perlu mengikut kemampuan kewangan masing-masing.

Beliau berkata, beberapa aspek perlu diambil kira sebelum membeli apa juga hartanah kerana rumah yang menjadi antara keperluan asas kehidupan tidak boleh membebani setiap individu sehingga tidak mampu menguruskan kewangan.

“Saya yakin, setiap individu akan menjadikan dua orang sahaja sebagai ikutan mereka dalam segi pengurusan kewangan iaitu ibu bapa dan kawan, jangan sebab kita tengok kawan boleh beli rumah besar, kita pun nak beli.

“Kalau tanya pandangan saya untuk golongan muda, beli rumah mengikut kemampuan, tidak perlu rumah besar, rumah tiga bilik sudah cukup dengan meminimumkan saiz dan jika ada rezeki beli yang lebih besar nanti,” katanya ketika menyampaikan ceramah pada pameran hartanah, MyRumah Perak-Ku 2019 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, hari ini.

DR Azizul Azli (kanan) menyampaikan ceramah pada Pameran Hartanah MyRumah Perak-Ku@PIEX 2019 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, hari ini. FOTO Abdullah Yusof.

Azizul dalam ceramahnya berkongsi lapan strategi memiliki rumah khusus kepada pengunjung pameran itu selain turut memberikan hadiah naskhah buku tulisannya kepada pengunjung bertuah.

Ketika ditanya sama ada pembelian rumah pada masa sekarang sesuai memandangkan kedudukan ekonomi negara dan dunia tidak menentu, Azizul berkata, rumah adalah keperluan asas seperti makanan dan pakaian.

“Pada pendapat saya, rumah ini boleh sentiasa dibeli seperti makanan dan pakaian, mustahil bila ekonomi negara dan dunia merudum, kita berhenti makan dan memakai baju.

“Cuma apa yang penting, beberapa perkara perlu diambil kira iaitu potensi kewangan, lokasi rumah, saiz rumah dan pemilihan rumah betul supaya ia tidak susut nilai.

“Zaman dahulu, orang tua-tua kata, beli saja rumah, rumah sentiasa akan naik harga, tapi perlu ingat jika silap beli, harga rumah akan statik dan kita akan mendapat rugi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 9:29 PM