SALWANI menunjukkan laporan polis dibuatnya ketika hadir ke Pejabat Harian Metro di Alor Setar, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


“SAYA bimbangkan keselamatan diri dan dua anak kerana bekas suami pernah berhutang dengan ramai orang selain menggunakan gelaran Datuk yang tidak pernah wujud,” kata wanita dikenali sebagai Salwani (bukan nama sebenar).

Salwani, 40-an, mendakwa bekas suaminya yang juga ahli perniagaan itu pernah membuat pinjaman untuk mengembangkan perniagaannya dengan mensasarkan golongan wanita sebagai sasaran.

Katanya, dia hanya menyedari lelaki berusia 54 tahun itu menggunakan gelaran Datuk selepas terbaca artikel di sebuah laman sesawang perniagaan, baru-baru ini.

“Saya terkejut kerana setahu saya dia hanya menerima pingat AMK pada 2016 dan bukannya gelaran Datuk.

“Selain itu, dia enggan membayar nafkah bulanan kepada saya sebanyak RM4,000 sebulan seperti diperintahkan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Kuala Muda,” katanya di pejabat Harian Metro, Alor Setar, hari ini.

Menurutnya, meskipun tiada individu menuntut hutang suaminya setakat ini, dia bimbang keselamatan dua anak lelakinya berusia lapan dan 11 tahun.

Katanya, sebelum ini dia pernah bertemu dengan seorang wanita yang memaklumkan bekas suaminya itu berhutang RM100,000 kepada wanita itu.

“Walaupun sudah berpisah sejak 2015, saya bimbang memikirkan nasib dua anak jika ada mencari mereka disebabkan perbuatan bekas suami.

“Setakat ini waran tangkap terhadap bekas suami dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Muda pada 30 Oktober lalu, namun sehingga kini dia belum membayar nafkah kepada mereka,” katanya.

Berikutan itu, dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar berhubung keselamatan diri dan dua anaknya, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 7:16 PM