PENSYARAH Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Dr Azizul Azli Ahmad menyampaikan ceramah pada Pameran Hartanah MyRumah Perak-Ku@PIEX 2019 di Stadium Indera Mulia, Ipoh. FOTO Abdullah Yusof
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


PAMERAN hartanah, MyRumah Perak-Ku 2019 anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) yang berakhir di Stadium Indera Mulia, Ipoh hari ini, mendapat sambutan menggalakkan bukan saja daripada penduduk bandaraya ini tetapi daerah berdekatan.

Diadakan secara kerjasama dengan Ekspo Antarabangsa Perak 2019 (PIEX’19), penganjuran selama empat hari bermula 14 November lalu berjaya mengumpulkan enam pemaju perumahan serta tiga bukan pemaju.

Enam pemaju itu ialah Jabatan Perumahan Negara (JPN); Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP); Casa Subang Sdn Bhd; Kinta Properties Sdn Bhd; Sunway Property Sdn Bhd dan Total Investment Sdn Bhd.

Manakala tiga bukan pemaju yang menyertai pameran kali ini ialah Amanah Raya Bhd, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Takaful Ikhlas Bhd (Takaful IKHLAS).

Menawarkan rumah serendah RM70,000, kesemua pemaju gembira dengan maklum balas diterima daripada pengunjung yang berminat dengan projek perumahan dan premis komersial dibangunkan mereka.

Pengurus Projek MyRumah, Mohd Haslan Abdul Abbas berkata, sesi ceramah menampilkan pakar bidang hartanah yang memberi penerangan berkaitan pelaburan antara yang mendapat sambutan pengunjung.

“Pameran ini menepati sasaran awal dari segi pengunjung dan pembeli rumah, kesemua hadiah cabutan bertuah disediakan juga habis dengan pelbagai aktiviti dijalankan.

“Penganjuran pameran ini untuk tahun depan Insya-Allah akan diteruskan dan kita berpuas hati dengan penganjuran di Perak selepas melihat sambutan baik diterima pengunjung,” katanya.

Mohd Haslan berkata, sebanyak 63,500 unit kediaman disediakan untuk dimiliki pengunjung yang berhasrat memiliki kediaman sendiri dan maklum balas diterima dari pemaju juga positif.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 6:01 PM