MENTERI Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar bercakap pada Program Larian IWK Fun Run di Pantai Eco Park, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Hafiz Sohaimi.
Idris Musa
idris@hmetro.com.my


“TANJUNG Piai bukan seluruh Malaysia. Tanjung Piai di Johor, itu bangsa Johor,” kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Xavier Jayakumar.

Beliau berkata, situasi di Johor adalah lain daripada lain, justeru keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai tidak boleh membuat ukuran rakyat menolak kerajaan hari ini.

“Dia lain, lain daripada lain. Jadi, tak boleh buat macam itu. Tapi kita ambil itu sebagai satu mesej dan kita akan buat sesuatu untuk masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan PRK Parlimen Tanjung Piai yang tidak memihak kepada Pakatan Harapan (PH) pada program ‘IWK 2Five Run’ di Pantai Eco Park, Kuala Lumpur, hari ini.

Pada PRK semalam, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng menang dengan majoriti 15,086 undi, selepas memperoleh 25,466 undi berbanding calon PH, Karmaine Sardini mendapat 10,380 undi.

Calon Gerakan, Wendy Subramaniam mendapat 1,707 undi, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz mewakili Berjasa (850) manakala dua calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock (380) dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar (32).

Dr Xavier yang juga Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli berkata, beliau melihat keputusan itu lebih daripada kemarahan dengan beberapa isu dibangkitkan seperti memainkan sentimen agama dan kaum.

“Malaysia kalau teruskan dengan agenda ini tidak boleh maju, kalau itu fokusnya,” katanya yang tidak lupa untuk mengucapkan tahniah kepada pembangkang kerana menang dengan majoriti besar.

Katanya, PH akan melakukan post-mortem untuk membincangkan perkara dibangkitkan susulan keputusan itu.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 5:51 PM