Laporan portal Harian Metro.
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


PEMANDU bas ekspres mahu mengambil bekas salap berwap terjatuh dipercayai menjadi punca kenderaan terbabit melanggar lori di Kilometer 397.2 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Ajil di Kuala Berang hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu bas berusia 36 tahun mahu mahu mengambil bekas salap itu yang jatuh berdekatan tempat duduknya.

Menurutnya, ketika pemandu berkenaan berbuat demikian secara tiba-tiba bas terbabit dipercayai berada terlalu rapat dengan lori di hadapannya.

“Ia menyebabkan bas terbabit tidak sempat mengelak sebelum merempuh bahagian belakang sebelah kanan lori yang membawa muatan meja konkrit berkenaan.

“Rempuhan itu menyebabkan lori terbabit terbalik dan terseret sejauh 50 meter ke sebelah kiri bahu jalan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian bas berkenaan yang membawa 29 penumpang itu dalam perjalanan dari Rantau Panjang, Kelantan menghala ke Johor Bharu, Johor.

Katanya, kejadian itu menyebabkan pemandu lori berusia 36 tahun cedera di tangan kanan manakala kelindannya luka di lutut, siku dan sakit di tulang belakang.

“Pemandu dan kesemua penumpang bas terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan itu.

“Siasatan awal sudah dilakukan dan kami turut merakam keterangan pemandu kedua-dua kenderaan terbabit.

“Siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal kawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya.

Portal Harian Metro hari ini melaporkan lori membawa muatan meja konkrit terbalik selepas dirempuh bas ekspres yang membawa 29 penumpang kira-kira 1 pagi.

Berita berkaitan

Lori terbalik dirempuh bas ekspres

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 5:37 PM