Kedua tertuduh diiring anggota polis selepas dihukum penjara penjara selama tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini. Foto Norizuan Shamsuddin
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


DUA lelaki masing-masing dihukum penjara selama tujuh tahun dan dikenakan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana mendatangkan kecederaan terhadap pemuda yang disamun mereka pada Mac lalu.

Hakim Azman Mustapha membuat keputusan itu selepas kedua-dua tertuduh, Mohd Faizal Abdullah, 41, dan Mohd Fariza Hozairi, 34, didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Mengikut Pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama mendatangkan kecederaan dan merompak wang tunai sebanyak RM1,300 milik Mohd Anuar Rambli, 32.

Perbuatan terbabit didakwa dilakukan di sebuah kediaman di Kampung Padang Lebam, Bukit Payong di Marang pada 4 pagi, 13 Mac lalu.

Kedua mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda serta sebatan.

Mahkamah menetapkan Mohd Faizal menjalani penjara bermula tarikh ditangkap manakala Mohd Fariza pula bermula tarikh sabitan kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Wan Ruzaini Wan Abdul Razak manakala kedua-dua tertuduh diwakili Nik Ismail Nik Lah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 5:01 PM