Pekerja kilang kitar semula di Kuang, Rawang diperiksa anggota imigresen dalam operasi kelmarin. Foto Ihsan JIM
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


CUBAAN beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) melarikan diri dengan memanjat bukit gagal apabila ditahan anggota penguat kuasa imigresen.

Selain itu, sebahagian PATI yang bersembunyi di bawah barangan kitar semula juga berjaya dikesan pihak berkuasa.

Kesemua mereka itu ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor di kilang kitar semula dan pemprosesan makanan di Kuang, Rawang dan Shah Alam, Selangor, kelmarin.

Pengarah JIM Selangor Mohamad Shukri Nawi berkata, dalam operasi membabitkan 13 pegawai dan anggota bermula jam 10 pagi hingga 8 malam itu berjaya menahan 52 PATI.

Menurutnya, seramai 150 warga asing diperiksa dalam operasi itu sebelum 52 orang termasuk empat wanita ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 38 warga Bangladesh, tiga (Indonesia), lima (Myanmar), lima (Nepal) dan seorang warga China berusia antara 20 hingga 45 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurutnya, kesemua PATI yang ditahan itu kemudiannya dibawa ke Bahagian Penguat Kuasa JIM Selangor untuk siasatan lanjut.

Katanya, mereka direman selama 14 hari mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan ditahan di Depot Imigresen Semenyih.

“Siasatan dijalankan mengikut 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal tanpa pas atau permit sah, Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 atas kesalahan melanggar syarat pas diberikan.

“Siasatan juga tertumpu kepada majikan yang menggajikan PATI terbabit dan sekiranya terdapat bukti, majikan akan turut dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 4:39 PM