Laporan portal Harian Metro sebelum ini.
Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my


“BEBERAPA guru dan murid pernah dikejar anjing liar di kawasan itu sebelum ini,” kata Pengerusi Sekolah Agama Rakyat (SAR) Haji Awaludin, Muhadzir Mahamor.

Pada Jumaat lalu, murid SAR Haji Awaluddin, Telok Kemang di Port Dickson itu, Muhammad Adib Asyraf Amiruddin, 6, cedera di leher kanan, tangan dan paha kiri digigit anjing liar.

Dalam kejadian 2.20 petang itu, kanak-kanak berkenaan sedang menunggu kelas dibuka sebelum diserang anjing berkenaan.

Berikutan itu, mangsa menerima rawatan di Hospital Port Dickson (HPD) dan keadaannya dilaporkan stabil.

Muhadzir berkata, kira-kira empat hingga lima ekor anjing liar sering berada dalam kawasan sekolah sejak dua bulan lalu.

“Saya dan pihak pengurusan sekolah sudah membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya tindakan diambil segera.

“PBT sudah sedia maklum mengenai aduan itu dan mengambil tindakan serta memberitahu satu unit penangkapan anjing liar akan diwujudkan oleh pihak swasta.

“Saya tidak pasti unit berkenaan sudah wujud atau belum,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, pihaknya sudah menghantar permohonan kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) untuk menutup awal sesi persekolahan sehingga anjing itu ditangkap.

Katanya, pihaknya juga berharap permohonan untuk memasang pagar di sekeliling sekolah itu diluluskan segera bagi mengelak dicerobohi haiwan liar dan tidak mahu murid atau guru lain menjadi mangsa.

Berita berkaitan

Kanak-kanak cedera digigit anjing liar

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 3:34 PM