KEADAAN dalam sebuah rumah yang terbakar. FOTO Ihsan Bomba.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


TIGA deretan rumah hampir musnah dalam kebakaran di Kampung Kuala Tunggang, Arau malam tadi.

Dalam kejadian 10 malam itu, ketiga-tiga rumah itu terbakar antara 20 sehingga 60 peratus. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada 10.15 malam.

“Api sedang marak membakar kediaman itu ketika sepasukan anggota tiba.

“Usaha memadam kebakaran segera dilakukan dan api berjaya dikawal pada 11.55 malam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jurucakap itu memberitahu, sebuah rumah yang terbakar 60 peratus di ruang tamu manakala, dua lagi rumah terbakar 50 peratus dan 20 peratus.

Katanya, tiga rumah terjejas kerana terletak bersebelahan satu sama lain.

Operasi itu ditamatkan sepenuhnya pada 12 tengah malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 10:18 AM