PENGUAT kuasa melakukan pemeriksaan ke atas mereka yang ditahan bersekedudukan. FOTO Ihsan JAIK.
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


EMPAT lelaki dicekup bersekedudukan dengan empat wanita dalam rumah di kawasan perumahan di Gurun, semalam.

Mereka dilapor sedang tidur ketika serbuan oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) pada 9.45 malam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Undang-Undang Syariah JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pemeriksaan itu dilakukan hasil maklumat awam.

Katanya, semua mereka berusia 20-an didapati bukan mahram mahupun suami isteri.

“Berkemungkinan mereka sudah lama menetap di situ sehingga menimbulkan syak orang ramai.

“Mereka yang ditahan berasal dari Guar Chempedak, Yan, Sungai Petani dan Pengkalan Hulu Perak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, lapan individu itu disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana berkurung sehingga mendatangkan syak kepada orang ramai.

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya yang turut menyertai operasi itu.

Semua mereka dibawa ke Pejabat Agama Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 9:24 AM