ANTARA foto dikongsikan Suliman sepanjang mengembara di Jepun.
Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my


“APABILA saya memperkenalkan diri dari Malaysia orang Jepun seronok kerana Malaysia antara negara terkenal di dunia dan mereka lantas menyebutkan Dr Mahathir,” kata Suliman Abd Lah.

Suliman, 48, berkata demikian ketika ditanya mengenai reaksi rakyat Jepun terhadap dirinya yang kini melaksanakan misi kayuhan solo Kembara Masjid di Jepun 2019 bermula 9 November lalu hingga 27 November ini.

Suliman atau dikenali sebagai Man Gerek berkata, dia sedih kerana masih ramai dalam kalangan rakyat Jepun tidak mengenali agama Islam dan berazam mahu berdakwah bagi membolehkan mereka merasai kemanisan iman bertuhankan Allah SWT.

“Tiada mana-mana jemputan, Allah yang panggil saya untuk melihat perkembangan Islam di sini dan memberi sumbangan serta mengembara dari masjid ke masjid.

“Hari ini (semalam) saya berada di Masjid Muhammadi di Hamamatsu (sebuah bandar pinggir pantai bahagian barat wilayah Shizuoka, Pulau Honshu) dan membuat sumbangan RM1 daripada setiap penjualan buku saya iaitu Kembara ke Masjid.


“Selain itu saya turut menyampaikan sumbangan daripada rakyat Malaysia.

“Saya juga membuat rakaman video selama dua minit bersama imam di Masjid Muhammadi kerana mereka juga bercadang mendirikan madrasah dan memberikan pendidikan Islam kepada penduduk Muslim Hamamatsu,” katanya, semalam.

Beliau berkata, cuaca sejuk mencecah 5 darjah Celsius antara cabaran dalam misi ini selepas kayuhan solo Kembara Menuju Lambaian Kaabah 2018.

“Antara pengalaman paling diingati adalah berkayuh di kawasan sejuk dengan suhu lebih kurang 11 darjah Celsius dan malam serendah 5 darjah disertai angin kuat. Memang sukar berkayuh dan menjadi terhuyung hayang kerana faktor angin,” katanya.

Sepanjang misi ini Suliman mengembara ke Masjid Hyuga dan Chiba, Pusat Pertukaran Budaya Islam di Shinagawa, Masjid Tokyo dan Pusat Rakyat Turki Tokyo, Masjid Fuji, surau Shizuoka, Masjid Muhammadi Hamamatsu, Masjid Nagoya dan Masjid Suzuka.


Beliau dijangka meneruskan misi ke Masjid Osaka, Masjid Kobe, Surau Himeji, Pusat Islam Okayama, trek basikal Kaido, Masjid Mihara, Pusat Islam Hiroshima, Atomic Dome, Hotel Park Side Hiroshima, Hotel Hikari Daiichi, Hotel Shimonoseki Station dan Masjid Al Nour Islamic Fukuoka sebelum dijangka bertolak pulang dari Lapangan Terbang Fukuoka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 6:10 AM