ANAK pelarian Syria di sekolah di Rayhanli, Turki yang dibuka Muslim Care.
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


MEREKA terpaksa hidup dalam pelarian sehingga pendidikan anak Syria terabai selain ada yang langsung tidak tahu menulis dan membaca akibat perang di negara asal.

Tinggal di kem pelarian yang serba daif dan hidup dalam keadaan tidak teratur menyebabkan mereka tidak mendapat pendidikan sempurna sehingga ada yang tidak boleh membaca Al-Fatihah.

Bertitik tolak dari itulah atas dasar prihatin kepada masa depan anak ini menyebabkan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) terpanggil membantu mereka demi tidak mahu kanak-kanak ini menjadi buta huruf.

Exco Pendidikan Muslim Care, Nazmi Abdul Karim berkata, atas hasil sumbangan orang ramai ini maka bermula pembukaan sekolah di Rayhanli, Turki pada 1 September 2014.

Menurutnya, pada awalnya 650 murid anak pelarian Syria bermula dari tahun satu hingga enam belajar di sekolah itu.

“Kemudian sebulan selepas itu, kami membuka sebuah lagi sekolah berikutan kebanjiran pelarian ke sempadan Turki-Syria,” katanya.

Nazmi berkata, seterusnya pada 2 Februari 2015, kerajaan Turki memohon Muslim Care membuka sebuah lagi sekolah untuk anak pelarian ini.

“Kali ini sekolah yang dibuka untuk peringkat menengah iaitu dari tingkatan satu hingga enam dan mampu menampung 1,200 pelajar,” katanya.

Beliau berkata, Muslim Care kemudian menumpukan di kawasan zon selamat di Syria sebelum tertubuhnya sekolah Maahad Tahfiz Muslim Care yang mampu menampung 240 pelajar.

“Dalam masa sama Muslim Care membuka sebuah lagi sekolah rendah yang mana kini 22,000 anak pelarian Syria mendapat pendidikan percuma dengan Muslim Care,” katanya.

Katanya, 75 pelajar sudah menyambung pengajian mereka di universiti tempatan dalam bidang perubatan, 90 dalam bidang kejuruteraan dan lebih 1,200 melanjutkan pengajian di universiti dalam pelbagai bidang.

“Manakala guru mengajar di sekolah Muslim Care terdiri daripada rakyat Syria dan kebanyakan mereka adalah balu.

“Bagaimanapun, pihak kami kini menghadapi masalah meneruskan usaha murni ini supaya sekolah terus beroperasi selepas menghadapi kekangan kewangan,” katanya.

Menurut Nazmi, pihak-
nya memerlukan AS$8,500 (RM35,223) sebulan.

“Malah sekolah terbabit kini diibarat nyawa-nyawa ikan akibat masalah kewangan menyebabkan pendidikan anak pelarian Syria bakal terancam jika ditutup.

“Pihak Muslim Care sendiri kini masih mencari derma bagi menampung keperluan supaya sekolah ini tidak ditutup yang mana sekurang-kurangnya RM500,000 diperlukan sebelum Januari tahun depan,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai boleh menyumbang menerusi akaun Muslim Care di Maybank (564490413882), Bank Islam (1401401014740) atau Bank Muamalat (14010007654717).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 6:05 AM